Alam Sekitar

MATLAMAT ALAM SEKITAR 

Sebagai sebuah konglomerat yang menjalankan perniagaan berasaskan industri perladangan, FELCRA Berhad komited untuk memastikan semua unit operasi diuruskan dengan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan serta pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti. Untuk memastikan alam sekitar dan keperbagaian biodiversiti terpelihara, kami komited untuk; –

Mengurus kesan alam sekitar – mengurangkan kesan alam sekitar di dalam amalan perladangan seperti larangan pembakaran terbuka, mengurangkan pencemaran dan pemulihara sumber air.

Pengurusan kawasan yang mempunyai nilai pemeliharaan tinggi (HCV) – memelihara fungsi HCV dan melindungi spesis-spesis terancam (RTE)

Pengurusan sisa – mengurus dan mengurangkan sisa operasi di samping menggalakan amalan kitar semula

Pelepasan gas rumah hijau (GHG) – mengurangkan pelepasan gas rumah hijau menerusi pendekatan lestari

 

 PENGURUSAN BIODIVERSITI

Bagi merealisasikan projek perintis biodiversiti di FELCRA Berhad, Kumpulan Kelestarian telah mengadakan program lawatan sambil belajar ke Sime Darby, Pulau Carey  pada 24 September 2020. Lawatan tersebut disertai oleh beberapa pegawai yang menguruskan projek biodiversiti di FELCRA Berhad. Melalui lawatan ini pihak FELCRA Berhad dapat mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan pengurusan biodiversiti yang telah dilaksanakan oleh pihak Sime Darby. Selain itu, ia juga dapat memberi pendedahan dan pengetahuan yang meluas berkenaan kemampanan yang menjadi amalan di syarikat lain.

 

ZON PENAMPAN

Bagi memastikan pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di FELCRA Berhad mengikut garis panduan yang ditetapkan, pihak FELCRA Berhad telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam pemeliharaan alam sekitar antaranya adalah penjagaan zon penampan. Kawasan yang mempunyai sungai digazetkan akan melaksanakan kawalan untuk zon penampan di mana zon tersebut akan bebas penggunaan racun dan baja kimia serta akan mengekalkan zon penampan secara semulajadi. Selain itu, pihak kawasan juga akan memberi latihan berkaitan zon penampan kepada Tenaga Kerja Ladang (TKL) di semua kawasan yang terlibat.

 

PENGURUSAN AIR SUNGAI

Pelan pengurusan air merupakan satu peranan penting untuk memantau status kualiti air sungai dan mengesan sebarang perubahan ketara terhadap kualiti air sungai akibat pencemaran alam sekitar dari semasa ke semasa. Salah satu elemen dalam pengurusan air adalah menjalankan analisis terhadap kualiti air sungai yang terdapat di kawasan/estet FELCRA Berhad. Dalam konteks ini, laporan yang diperolehi daripada analisis persampelan air yang dijalankan hendaklah mematuhi Standard Kualiti Air Kebangsaan yang telah ditetapkan. Antara parameter yang dianalisis adalah pH, Temperature, Total Suspended Solid (TSS), Biochemical Oxygen Demand (BOD), Dissolved Oxygen (DO), Chemical Oxygen Demand (COD), Ammoniacal Nitrogen (AN), Turbidity, Phosphorus, Oil & Grease, E-coli, Arsenic, Paraquat dan Glyphosate. Manakala kaedah pelaksanaan zon penampan (Buffer Zone) di kawasan air sungai dapat mengawal pencemaran air selain larangan penggunaan racun dan baja kimia di kawasan zon penampan tersebut.